Friday, April 16, 2010

kajian minat membaca (samb)

Wahana kepada akumulasi atau perolehan ilmu pula ialah membaca (Abdul Razaq Ahmad dan Shaharom Tm Sulaiman, 2005). Melalui pembacaan yang luas, teliti, analitis serta kritis, guru bukan sekadar berperanan sebagai “penuang fakta” tetapi menghubungkaitkan sesuatu fakta dengan hal ehwal sekitar yang bermakna bagi pelajar dan negara melalui kegiatan pengajaran dan pembelajaran. Seseorang guru yang peka terhadap perkembangan ilmu dan cintakan profesion perguruannya akan berusaha sepanjang hayatnya untuk membaca, mengumpul maklumat dan kemudian memberi satu tafsiran yang sistematis dan bermakna tentangnya. Ini menjadikan proses pengajarannya menjadi relevan dengan hasrat falsafah pendidikan, masyarakat bangsa dan negara.

Selain itu, menurut Zaini Ujang (2009), mahasiswa cemerlang perlu menguasai sekurang-kurangnya empat kemahiran ilmiah yang penting iaitu, a) menulis, b) membaca, c) berfikir dan d) berwacana. Penghayatan kemahiran ilmiah seperti membaca ini amat penting bagi seseorang guru pelatih dalam membina jati diri yang mapan untuk mendidik anak bangsa Negara. Membaca dapat dilihat sebagai medium bagi seseorang guru pelatih untuk memetik puing-puing ilmu yang amat luas.

Selain dairpada itu, berdasarkan buku Menghayati Budaya Ilmu, menurut Zaini Ujang (2009), untuk menjadi seseorang yang cemerlang , sekurang-kurangnya sembilan perkara utama mesti dijadikan amalan hidup iaitu 1) pengurusan masa, 2) integriti, 3) kemahiran insaniah, 4) pembelajaran berkesan, 5) aktiviti kolej, 6) kemahiran membaca, 7) keprihatinan sosial, 8) menjana minda kreatif dan inovatif dan 9) tabiat membaca. Apa yang dinyatakan oleh Zaini Ujang dua daripada Sembilan perkara utama amalan hidup yang cemerlang adalah kemahiran membaca dan tabiat membaca. Dua amalan hidup ini perlu dititikberatkan dalam membina jiwa guru yang akan suka dan cinta akan membaca sesuai dengan pepatah membaca jambatan ilmu. Budaya sebegini perlu disemai dalam sanubari guru-guru pelatih agar kelak menjadi guru yang berdedikasi dan berilmu pengetahuan yang akan mendidik anak bangsa.

Menurut Hamka(2009), dalam bukunya yang bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, menyatakan bahawa langkahkan kaki ke perjuangan, yang selalu meminta tentera, yang selalu kekurangan soldadu. Apa yang tersirat dalam ayat itu amat mendalam maknanya buat seorang insan yang bergelar guru. Apa yang dimaksudkan dan dapat dikaitkan adalah seseorang guru seharusnya berdiri tegak dan berjuang memandang jauh kehadapan memikirkan bagaimana untuk menjadi model kepada pelajarnya dari segi kemahiran membaca dan tabiat membaca dan ini sekali gus menghampiri matlamat utama amalan hidup yang cemerlang.

Pembentukan tabiat membaca sememangnya dipengaruhi oleh naluri kemanusiaan dan factor-faktor yang ada disekelilingnya. Dalam hal yang demikan, seseorang guru yang meminati bidang ilmu, sudah semestinya mempunyai tabiat suka membaca, kerana membaca adalah pintu ilmu. Zaini Ujang(2009), ada menyatakan membaca adalah aktiviti susulan dalam konteks menuntu ilmu.

Menurut Kemboja Ismail & Norizah (2008), melalui bacaan, para pelajar mendapat maklumat terkini dan boleh mensintasis dan menilai ilmu yang dipelajari. Melalui membaca, barulah kita mampu menjadi warga dunia “kelas pertama” yang cemerlang sesuai dengan semangat dan tema Pesta Buku pada tahun 2002 iaitu “Menakluki Dunia Melalui Pembacaan”.

Kajian ini akan membincangkan dapatan kajian yang meninjau minat membaca guru pelatih khususnya guru pelatih tahun dua fakulti pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Kajian ini akan membicarakan kepentingan membaca, terutama dalam berkerjaya sebagai seorang guru kelak, diikuti dengan rasional mengapa kajian ini dijalankan.

No comments: