Friday, April 16, 2010

kajian minat membaca









Dalam era globalisasi, membaca adalah suatu keperluan. Tanpa membaca seseorang itu tidak akan dapat ilmu, sukar hidup sempurna atau bahagia (Rejab, 2007). Sesungguhnya amat banyak faedah melalui pembacaan. Dalam erti kata kehidupan seseorang, apabila banyak membaca dapatlah mengetahui dan mendirikan penghidupan sebenarnya di dunia dan akhirat. Sebagai orang Islam, mahupun penganut agama lain, wajar benar menerima dan mengamalkan sifat suka membaca. Surah ‘Iqrak’ Al- Alaq ayat 1- 5 bermaksud:


“Bacalah Dengan Menyebut Nama Tuhanmu Yang Menciptakan Manusia Dari Segumpal Darah. Bacalah Dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah, Yang Mengajar Manusia Dengan Kalam. Dia Yang Mengajar Manusia Apa Yang Tidak Diketahuinya.”

Menerusi surah berkenaan begitu jelas Allah SWT menyeru manusia supaya meminati pembacaan kerana kepentingannya amat besar. Dengan pembacaan itu manusia akan mengetahui apa yang tidak diketahuinya. Penghayatan membaca yang berterusan akan menjadikan kita manusia berilmu dan beradab (Abd. Razaq Ahmad, 2005).

Membaca bukan sahaja satu-satunya cara ke arah mendapatkan ilmu pengetahuan, malah ia menjadi kunci ke arah peningkatan kemahiran dalam sesuatu bidang ilmu. Kerjaya sebagai guru perlu kepada penambahan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam sesuatu bidang pengajaran. Oleh itu, guru yang tidak membaca boleh diibaratkan sebagai akhbar lama yang mengandungi berita-berita yang telah lapuk dan ditelan zaman. Membaca memerdekakan minda kita daripada segala kebelengguan dan kejahilan (Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin, 2004).

Dalam konteks pendidikan formal, guru memainkan peranan utama dalam usaha membina masyarakat berbudaya ilmu dan membaca. Melalui pembacaan, para guru sebagai golongan professional pendidikan dapat membimbing para pelajar dalam usaha membawa mereka memahami sesuatu suasana dalam konteks yang menggunakan perspektif yang betul dan wajar. Sebagai golongan yang bertanggungjawab dalam “pelaburan tenaga manusia”, guru seharusnya peka dengan perubahan sekitar dan kepekaan tersebut hanya akan terangsang melaui pembacaan.




No comments: